Saturday, February 28, 2009


PROGRAM MERAKYATKAN SENI & BUDAYA, MEMPERKASAKAN PERPADUAN BERSAMA

Taman Ria Jaya – 15 Feb 2009 – Program "Merakyatkan Seni dan Budaya, Perkasakan Perpaduan Bersama” anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kedah, UMNO Bahagian Sungai Petani dan UMNO Bahagian Merbok telah diadakan di padang awam, Taman Ria Jaya pada Februari lepas. Program telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. UMNO Sungai Petani di bawah Biro Pembangunan Sosial & Masyarakat telah diberi tanggung jawab untuk mempamerkan adat dan tradisi rakyat Kedah iaitu Adat Bercukur Rambut & Berendoi .

Adat ini diketengahkan sebagai salah satu adat dan tradisi rakyat Kedah yang masih diamalkan oleh segelintir masyarakat. Segala peralatan yang diperlukan bagi menjalankan upacara seperti air tepung tawar, beras bertih, kelapa, pulut kuning, bunga telur dan sebagainya telah dipertontonkan kepada khalayak ramai. Malah Biro telah mengambil inisiatif menjemput kumpulan Marhaban dari Kampung Paya yang di ketuai oleh Puan Badariah untuk mengalunkan selawat ke atas Nabi dan gurindam nasihat kepada bayi sebagai pesanan dan pegangan hidup. Biro juga telah bekerjasama dengan Wanita UMNO Bahagian Merbok untuk mengadakan demonstrasi membuat makanan tradisional Kedah seperti kuih peneram, kuih karas, pulut kacau, seri muka, kuih talam, putu kacang dan putu beras. Malah gerai ini riuh sewaktu kunjungan YB Dato’ Seri Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal serta isterinya yang mencuba cara-cara membuat kuih karas.