Wednesday, December 30, 2009



PROGRAM IBADAH KORBAN PERDANA

 

Disember 2009 Tikam Batu –  Biro Agama dan Kebajikan Islam UMNO Bahagian Sungai Petani telah menganjurkan program Ibadah Korban Perdana sempena menyambut perayaan Hari Raya Aidil Adha 2008 bertempat di Kampung Berapit, Tikam Batu. Program ini di hadiri oleh ramai ahli-ahli UMNO dari seluruh cawangan UMNO Bahagian Sungai Petani. Sebanyak lima belas ekor lembu telah disembelihkan dan di lapah secara bergotong-royong. Turut hadir menjayakan gotong royong ialah Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, En. Ali bin Yahaya. Daging korban telah diagihkan kepada semua wakil cawangan UMNO. Setiap cawangan telah diamanahkan untuk mengagihkan sepuluh bungkus daging seberat satu kilogram setiap bungkusan. Program telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Turun Padang - Perjumpaan dengan Penduduk Pulau Sayak





TURUN PADANG 
PERJUMPAAN DENGAN PENDUDUK PULAU SAYAK

Pulau Sayak, Dis 2009 - Adalah menjadi tanggungjawab Ketua UMNO Bahagian untuk turun padang berjumpa dengan masyarakat sambil beramah-mesra serta mendengar keluhan mereka. En Ali Yahaya bersama Datuk Paduka , Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, telah sama-sama meluangkan masa berjumpa dengan penduduk Kampung Pulau Sayak di satu majlis serba ringkas. Banyak permasaalahan yang telah dibincangkan dan mendapat jalan penyelesaian. 

Thursday, July 30, 2009








MAJLIS PERASMIAN PUSAT KHIDMAT UMNO/ BN DUN PANTAI MERDEKA
DI KOTA KUALA MUDA

15 Julai 2009 Kota Kuala Muda - Majlis Perasmian Pusat Khidmat UMNO/BN DUN Pantai Merdeka telah diadakan di Kota Kuala Muda yang terletak bersebelahan dengan pejabat penghulu. Majlis dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah. Majlis bermula sejak awal pagi dengan aktiviti pertandingan karum dan catur untuk golongan remaja, Pertandingan Aspek Wanita, Kaunter Pemeriksaan Kesihatan oleh Pejabat Kesihatan serta Kaunter Daftar Pemilih. Pejabat Belia dan Sukan Daerah juga sama-sama memeriahkan majlis dengan mengadakan pameran serta kaunter keahlian Rakan Muda.

Majlis perasmian dimulakan dengan persembahan nasyid oleh Wanita UMNO Cawangan Kota sebagai pemuka tirai. Di dalam ucapan perasmian, Datuk Paduka menekankan tentang pentingnya kita menberi perkhidmatan yang cemerlang dan sentiasa mendahulukan rakyat dalam segala aspek kerja kita. Majlis juga diserikan dengan program "Fun Time With English" anjuran Biro Pembangunan Masyarakat yang melibatkan lebih 80 orang kanak-kanak sekitar DUN Pantai Merdeka. Kanak-kanak didedahkan kepada pembelajaran bahasa Inggeris melalui sesi bercerita, persembahan boneka "Puppet show" serta teka teki.




Saturday, February 28, 2009


PROGRAM MERAKYATKAN SENI & BUDAYA, MEMPERKASAKAN PERPADUAN BERSAMA

Taman Ria Jaya – 15 Feb 2009 – Program "Merakyatkan Seni dan Budaya, Perkasakan Perpaduan Bersama” anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kedah, UMNO Bahagian Sungai Petani dan UMNO Bahagian Merbok telah diadakan di padang awam, Taman Ria Jaya pada Februari lepas. Program telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. UMNO Sungai Petani di bawah Biro Pembangunan Sosial & Masyarakat telah diberi tanggung jawab untuk mempamerkan adat dan tradisi rakyat Kedah iaitu Adat Bercukur Rambut & Berendoi .

Adat ini diketengahkan sebagai salah satu adat dan tradisi rakyat Kedah yang masih diamalkan oleh segelintir masyarakat. Segala peralatan yang diperlukan bagi menjalankan upacara seperti air tepung tawar, beras bertih, kelapa, pulut kuning, bunga telur dan sebagainya telah dipertontonkan kepada khalayak ramai. Malah Biro telah mengambil inisiatif menjemput kumpulan Marhaban dari Kampung Paya yang di ketuai oleh Puan Badariah untuk mengalunkan selawat ke atas Nabi dan gurindam nasihat kepada bayi sebagai pesanan dan pegangan hidup. Biro juga telah bekerjasama dengan Wanita UMNO Bahagian Merbok untuk mengadakan demonstrasi membuat makanan tradisional Kedah seperti kuih peneram, kuih karas, pulut kacau, seri muka, kuih talam, putu kacang dan putu beras. Malah gerai ini riuh sewaktu kunjungan YB Dato’ Seri Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal serta isterinya yang mencuba cara-cara membuat kuih karas.


 

Sunday, February 22, 2009






CERAMAH POLITIK "SENARIO POLITIK MASA KINI"

ANJURAN WANITA UMNO BAHAGIAN SUNGAI PETANI

 

20 Feb (Jumaat)- Biro Penerangan Wanita UMNO Bahagian telah menganjurkan satu program ceramah yang bertajuk ‘SENARIO POLITIK MASA KINI’ di Dewan MPSPK Tikam Batu dan dirasmikan oleh Yang Berbahagia En Ali bin Yahaya, Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani. Program ini telah mendapat sambutan yang amat membanggakan dengan kehadiran lebih 400 orang, manakala ceramah telah disampaikan oleh Dato’ Seri Mohd Khir bin Toyo, Mantan Menteri Besar Selangor.

Friday, January 30, 2009



BUBUR ASYURA PERDANA

 

Januari 2009  Taman Keladi – Sempena memperingati peristiwa bahtera Nabi Noh pada bulan Muharram, Biro Agama dan Kebajikan Islam UMNO Sungai Petani telah menganjurkan program Memasak Bubur Asyura Perdana. Semua cawangan UMNO di dalam Bahagian Sungai Petani telah di jemput untuk  menjayakan program ini. Sebanyak dua belas periuk besar bubur Asyura telah di masak secara bergotong-royong oleh semua ahli UMNO yang hadir. Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani En.Ali Bin Yahaya telah hadir merasmikan majlis. Bubur Asyura yang telah siap di masak telah diedarkan kepada semua yang hadir.