Tuesday, January 15, 2008


PROGRAM KEBAJIKAN BERSAMA KELAB SUNGAI PETANI


Kg Paya – Prihatin di atas kesusahan yang menimpa orang lain adalah satu sikap yang terpuji. Bak kata orang, ikutlah resmi padi, makin berisi tambah menunduk. Seramai 10 orang warga emas tanpa waris di Kampung Paya telah menerima kunjungan mesra oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, En Ali bin Yahaya dan Pengerusi Kelab Sungai Petani, En. Tamil Mani dalam program anjuran bersama Biro Pembangunan Sosial & Masyarakat dan Biro Kebajikan UMNO Sungai Petani.

UMNO Bahagian Sungai Petani telah menyumbangkan barangan keperluan dapur manakala Kelab Sungai Petani telah menghulurkan sumbangan wang tunai bagi setiap penghuni Rumah Orang Tua Tanpa Waris Kampung Paya ini.

Malah dengan pemberian sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengubah persepsi orang ramai bahawa Kelab Sungai Petani bukan hanya semata-mata untuk bermain golf tetapi mereka juga prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik. Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani pula mengharapkan agar program seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan sesama anggota masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan kedudukan.