Monday, March 29, 2010

1 comments




PEMBUBARAN PKR CAWANGAN PENGKALAN LEBAI MAN
BUKTI KAUM INDIA TIDAK LAGI MENERIMA PKR

Pengkalan Lebai Man, Ahad 28hb Mar 2010 - Perjumpaan serba ringkas malam semalam telah menyaksikan penyerahan sebanyak 217 borang ahli baru masyarakat India di kawasan Pengkalan Lebai Man memasuki MIC. Justeru itu, PKR cawangan Pengkalan Lebai Man dengan sendirinya terbubar atas keputusan AJKnya memasuki BN secara beramai-ramai. 

Ini membuktikan bahawa masyarakat India di sekitar Pengkalan Lebai Man tidak lagi menerima PKR. Mengikut keterangan mereka, mereka merasakan tidak di beri perhatian oleh wakil rakyat PKR terutamanya sewaktu banjir kilat yang berlaku di kawasan mereka baru-baru ini. Walaupun mereka telah memohon bantuan daripada wakil rakyat, tetapi alasan yang di beri amat mengecewakan. Wakil rakyat tidak turun padang meninjau kesusahan yang dialami oleh masyarakat India di situ sejak dipilih. 

Perjumpaan tersebut di hadiri oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, En Ali bin Yahaya serta barisan AJKnya. Dalam ucapan beliau, Ketua UMNO Bahagian mengatakan hasrat beliau melihat Pengkalan Lebai Man sebagai satu contoh bagaimana UMNO dapat membantu masyarakat India atas dasar rakan kongsi hidup bersama aman makmur di bawah gagasan 1Malaysia. Ketua UMNO Cawangan Pengkalan Lebai Man, Hj Abu Hassan bin Hashim memainkan peranan yang penting dalam menganjur perjumpaan tersebut. Beliau di beri tanggungjawab melihat akan kebajikan masyarakat India di situ. Datuk V Saravanan juga hadir memberi sokongan terhadap perjumpaan tersebut. 


Monday, March 8, 2010

0 comments

TEMUBUAL EKSKLUSIF BERSAMA KETUA UMNO BAHAGIAN SUNGAI PETANI

ALI BIN YAHAYA

 

Kami mengucapkan setinggi penghargaan kepada Encik Ali kerana memberi peluang kepada kami untuk mengadakan temuramah ini.

Soalan: Boleh Encik Ali ceritakan sedikit sebanyak tentang latar belakang Encik Ali dan apa yang menyebabkan Encik Ali membuat keputusan untuk berkecimpung di dalam dunia politik?

Jawapan:  Assalamualaikum dan terima kasih. Saya adalah anak kelahiran Kampung Haji Wahab Batu 2, dilahirkan pada tahun 1958. Bersekolah di Sekolah Rendah Khir Johari dan Sekolah Menengah Batu 2 sehingga Tingkatan 5. Saya meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh. Selepas itu saya melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia dalam bidang Sains Kemasyarakatan, jurusan Ekonomi dan Politik. Selepas habis belajar, saya ditawarkan bekerja di Public Bank tetapi saya memilih bekerja dengan kerajaan sebagai Pengawai Tadbir Am. Pada tahun 1985 saya menjalani kursus Diploma Pengurusan selama setahun. Diperingkat awalnya saya ditempatkan di Kementerian Dalam Negeri sebagai Pengawai Turus Rela. Pada tahun 1986 saya diterima sebagai Pengawai Tadbir Diplomatik dan berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri sehingga tahun 1989. Seterusnya saya ditawarkan menjadi seorang Diplomat iaitu Setiausaha KeDua Kedutaan Malaysia di Yugoslavia.

 

Setelah tamat berkhidmat, saya kembali bertugas di Jabatan Perdana Menteri sehingga tahun 1998. Seterusnya, saya ditugaskan di Kementerian Dalam Negeri di bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam. Pada tahun 2001,saya ditawarkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Musa Hitam sebagai Pengawai di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan pada waktu itu saya merupakan pengawai yang mula menubuhkan Suruhanjaya tersebut. Saya masih ingat lagi, pejabat saya di dalam kabin di Kementerian Luar Negeri. Banyak pengalaman  yang saya terima semasa berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha SUHAKAM dan saya meneruskan perkhidmatan dengan Tan Sri Musa Hitam. Di situlah saya melihat ada ruang untuk saya menceburkan diri dalam bidang politik kerana saya berjaya mengendalikan banyak pihak terutamanya pihak pembangkang yang menggunakan kesempatan penubuhan SUHAKAM ini untuk kepentingan politik mereka.

Pada tahun 1998, saya terlibat dalam Kementerian Dalam Negeri untuk memantau pergerakan reformasi. Saya juga telah hadir dalam Mesyuarat Perang Saraf dan Gerak Saraf Kebangsaan. Pada tahun 2002, saya berpindah ke Kementerian Pertahanan di Bahagian Dasar, terlibat secara langsung sebagai kumpulan pertama yang membentuk dasar pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara. Inilah pengalaman saya semasa berada di dalam pentadbiran kerajaan. Apabila Dato' Seri Mahadzir Khalid mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah, saya ditawarkan sebagai Setiausaha Politik beliau pada Januari  2006.

Soalan: Sudah tentu ramai ingin mengetahui apakah visi atau penekanan yang akan Encik Ali bawa ke UMNO Bahagian Sungai Petani, mungkin Encik Ali boleh huraikan satu persatu?

Visi saya adalah untuk mengembalikan kegemilangan UMNO Bahagian Sungai Petani sebagai sebuah parti politik yang berwibawa khasnya di peringkat bahagian dan juga cawangan-cawangan. UMNO Sungai Petani telah mengalami kemurungan sejak beberapa tahun yang lalu atas sebab-sebab tertentu. Saya ingin meningkatkan keberkesanan pengurusan UMNO di peringkat bahagian dan cawangan untuk memastikan kegemilangan UMNO dapat  dikembalikan.

Soalan: Rata-rata sekarang apa yang diperkatakan oleh ramai ialah aktiviti-aktiviti yang telah dianjurkan oleh UMNO Sungai Petani yang begitu rancak diadakan semenjak Encik Ali mengambil-alih tampuk kepimpinan. Boleh Encik Ali jelaskan secara ringkas antara aktiviti-aktiviti yang telah dan akan dilaksanakan yang mana memberi impak yang besar kepada masyarakat Sungai Petani amnya dan ahli-ahli UMNO khususnya?

Jawapan: Apabila saya mengambil alih jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani selepas saya dipilih dalam Perhimpunan Agung UMNO pada bulan November 2008 yang lalu, saya telah membentuk Jawatankuasa serta Biro-Biro yang mempunyai tanggungjawab masing-masing bagi menganjurkan aktiviti yang boleh menaikkan nama UMNO. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan bersifat kemasyarakatan di samping memberi penekanan terhadap hal kebajikan masyarakat. Antara aktiviti yang mula di adakan ialah Korban Perdana, Bubur Asyura Perdana, Majlis-Majlis Bacaan Yassin dan juga Tazkirah. Tujuannya adalah memastikan ada aktiviti dijalankan di peringkat cawangan. Aktiviti-aktiviti sebegini akan dapat diadakan lebih banyak lagi di masa akan datang. Pembiayaan aktiviti-aktiviti ini kadangkala melibatkan peruntukan peribadi dan UMNO Bahagian serta melalui peruntukan yang disediakan oleh pihak Jabatan Pembangunan Negeri bagi memastikan aktiviti ini dapat dijalankan dengan lancar. UMNO tidak boleh lari dari menjalankan kegiatan. Sekiranya sesuatu parti politik itu tidak ada aktiviti, maka ianya akan nampak layu dan tidak berperanan lagi. Selepas ini kita akan menpergiatkan aktiviti-aktiviti penerangan, ceramah-ceramah politik yang akan menekankan aspek kekuatan yang ada pada parti kita dan mendedahkan kelemahan pihak pembangkang di negeri Kedah.

Aktiviti-aktiviti ini akan kita tumpukan juga kepada sayap Wanita, Pemuda dan juga Puteri UMNO yang mana dapat membantu pihak bahagian memantapkan lagi kedudukan parti. Kita di peringkat bahagian menekankan kepentingan masyarakat terutama ahli-ahli yang kurang berkemampuan, anak yatim, orang-orang tua serta orang kurang upaya dari segi keperluan rumah, pealatan dan sebagainya. Kita dalam proses memperkemaskan soal menyelidik dan menyemak kedudukan mereka dengan kerjasama KEDA selaku agensi pelaksana Kerajaan Persekutuan bagi membaik-pulih atau membina baru rumah orang-orang kurang berkemampuan. Saya amat gembira kerana sehingga kini kita telah berjaya mendapatkan peruntukan untuk membina 54 buah rumah baru dan yang akan dibaik-pulih pulak sebanyak 52 buah rumah. Saya yakin sasaran UMNO Bahagian Sungai Petani untuk membina baru atau membaik-pulih lebih 100 buah rumah di sekitar Parlimen Sungai Petani setiap tahun akan tercapai. Kalau tahun ini kita dapat mencapai matlamat itu, saya berharap pada tahun hadapan 100 buah rumah lagi akan dapat dibina dan dibaik-pulih dan seterusnya bila menjelang pilihanraya ke 13, kita akan dapat siapkan lebih kurang 300 buah rumah kesemuanya. Ini adalah satu khidmat kebajikan parti yang akan mendatangkan kesan positif kepada UMNO dan BN di Sungai Petani ini. Dalam masa yang sama kita juga melihat kebajikan kanak-kanak di sekolah rendah dan juga menengah. Bantuan ini akan kita salurkan melalui PIBG. Terdapat PIBG yang telahpun memohon bantuan dan kita telah berjaya uruskan bantuan ini.

Ada juga yang dapat bantuan dari segi kebajikan terutama sekali yang kurang upaya,ibu-ibu tunggal yang daif dan juga mereka yang di timpa bencana dan sebagainya. Kita telahpun tubuhkan Biro Kebajikan yang telah bergerak dengan aktif dan teratur. Dan pada masa yang sama kita ada kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sungai Petani. Itulah yang telah kita laksanakan setakat ini.

Soalan: Semestinya untuk memenuhi pencapaian tersebut Encik Ali mempunyai Barisan Ahli jawatankuasa Bahagian, sayap Pemuda, Wanita dan juga Puteri UMNO serta barisan Ahli Jawatankuasa Biro yang mantap dan efisien. Apakah harapan serta aspirasi Encik Ali terhadap mereka?

Jawapan : Selaku Ketua Umno Bahagian Sungai Petani serta ahli Jawatankuasa Bahagian, kita telah diberi satu tanggungjawap yang besar oleh ahli-ahli yang memilih kita. Setakat ini saya melihat kebanyakan ahli-ahli Jawatankuasa Bahagian Sungai Petani telah memahami cara bekerja yang hendak saya bawa dan mereka telah berjaya memenuhi permintaan yang telah saya nyatakan kepada mereka. Syarat atau prinsip pertama yang saya letakkan pada Jawatankuasa Bahagian ialah mereka mesti bekerja, ini kerana semasa pemilihan mereka berjanji untuk membuat kerja dan menunaikan tanggungjawap masing-masing. Maka inilah antara yang menjadi kekuatan saya dalam memimpin ahli Jawatankuasa Bahagian. Dalam masa yang sama saya dapati ada ahli Jawatakuasa yang kurang berpengalaman (orang baru) termasuklah saya sendiri. Tetapi saya mempunyai pengalaman pentadbiran, pengurusan dan juga hubungan dengan jabatan-jabatan kerajaan. Mereka ini akan saya bimbing dalam soal berhubung dengan jabatan-jabatan kerajaan.

Soalan: Selama hampir 7 bulan Encik Ali memimpin Umno Bahagian Sungai Petani, kami percaya banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa Encik Ali hadapi. Secara peribadi apakah sebenarnya cabaran yang paling hebat selama menjadi Ketua UMNO Bahagian?

Jawapan : Cabaran yang paling besar saya hadapi adalah untuk meningkatkan kesedaran ahli-ahli dan pemimpin UMNO di peringkat bahagian dan cawangan bahawa kita sekarang sudah menjadi parti pembangkang di negeri Kedah. Cara dan tindakan kita kenalah berbeza kerana kedudukan juga telah berubah. Dulu kita memberi perkhidmatan kerana kita sebagai pemerintah di peringkat negeri. Tapi pada hari ini kita telah menjadi pembangkang. Agak sukar untuk meletakkan diri sebagai parti pembangkang kerana kita duduk dalam keadaan begitu selesa sekian lama. Inilah cabaran yang paling besar terpaksa saya hadapi.

Soalan: Berdasarkan pada keputusan pilihanraya yang lepas, mungkin Encik Ali boleh memberi huraian berhubung keputusan yang agak memeranjatkan itu bagi Parlimen Sungai Petani dari sudut UMNO khususnya dan Barisan Nasional amnya?

Jawapan : Memanglah semua pihak berasa sedih dan kecewa di atas kekalahan kita, tetapi kalau kita lihat sebab kekalahan kita itu ada banyak. Yang pertama sekali ialah tahap sokongan undi dari kaum Cina dan India yang amat ketara sekali. Yang kedua adalah tahap sokongan orang muda kepada UMNO atau BN yang nampak begitu kecewa dan ketara sekali. Apapun, keputusan itu ialah hasil mainan pihak pembangkang terutama sekali mainan emosi mereka terhadap kaum Cina dan India yang begitu kuat sekali sehingga kita tidak dapat menangkis segala tohmahan, fitnah dan juga kempen-kempen negatif anti-UMNO dan anti-BN. Jadi itulah yang dapat kita lihat pada waktu itu. Keputusan di buat atas sifat marahkan UMNO dan Barisan Nasional dan kita juga dapati di kalangan penyokong-penyokong tradisi UMNO dan Barisan Nasional sebelum ini, sudah berubah marah kepada UMNO.

Walau bagaimanpun, sokongan kepada UMNO Sungai Petani bukanlah teruk sangat, kalau kita lihat kekalahan kita di Pantai Merdeka hanyalah 500 undi, di Bakar Arang 1,300 undi dan di Sidam 3,000 lebih sahaja. Jadi faktor-faktor lain adalah calon dan faktor nasional yang amat mempengaruhi pengundi-pengundi setempat.

Soalan: Sebagaimana yang Encik Ali katakan tadi memang menarik jika kita melihat dari keputusan pilihanraya kali ini, sokongan kaum India, Cina dan Melayu sendiri terutamanya terhadap BN di lihat sedikit menurun berbanding masa lalu, kenapa ini berlaku dan apa pendekatan Encik Ali terhadap Barisan Nasional Sungai Petani?

Jawapan : Semenjak saya mengambil alih jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, saya mengambil inisiatif untuk mendekatkan UMNO dengan parti-pari komponen seperti GERAKAN, MCA, MIC dan PPP yang secara kebetulannya kepimpinan di dalam parti-parti komponen ini merupakan rakan-rakan saya yang lama. Mereka telah memahami cara saya dan saya juga memahami cara mereka. Saya akan memastikan UMNO dapat memimpin parti-parti komponen ini di dalam persiapan menghadapai pilihanraya ke 13 yang akan datang. Ini satu kenyataan yang jelas kepada UMNO terutama sekali kepada ahli-ahli UMNO bahawa rakyat boleh menolak parti pada bila-bila masa sahaja. Yang penting sekarang kita menghentikan adu domba politik dalaman UMNO di peringkat bahagian supaya kita dapat tumpukan segala sumber tenaga kita pada waktu ini untuk melawan tohmahan pihak pembangkang.Pihak pembangkang tidak mempunyai kekuatan yang luar biasa,tetapi mereka mempergunakan kelemahan yang ada dalam parti kita. Kita semua mestilah bersatu padu untuk memenangi pilihanraya akan datang.

Soalan: Akhir sekali kami ingin memberi peluang kepada Encik Ali untuk memberi sepatah dua kata nasihat dan harapan kepada seluruh ahli UMNO Sungai Petani.

Jawapan : Saya amatlah berharap kepada seluruh kepimpinan UMNO sedia ada, bekas-bekas pemimpin UMNO, Veteran UMNO dan keseluruhan ahli UMNO  Sungai Petani supaya menumpukan perhatian kepada kerja buat parti di peringkat bahagian. Kita akan merancang bagaimana hendak menghadapi pilihanraya yang ke 13 nanti supaya kita dapat memikat hati para pengundi dan seterusnya memenangi pilihanraya itu nanti. UMNO tidak boleh berdiri sendiri dan UMNO hendaklah bekerjasama dengan semua parti komponen untuk menghadapi pilihanraya. Saya berharap sangat agar kita dapat berganding bahu untuk menguatkan parti. Saya menyeru pemimpin di peringkat cawangan supaya mengurangkan pergeseran agar dapat menumpukan perhatian dalam menguruskan ahli-ahli kita di peringkat cawangan dan juga ahli-ahli di atas pagar. Kalau kuat UMNO cawangan, maka kuatlah UMNO Bahagian, justeru kuatlah UMNO di peringkat Negeri dan juga Negara amnya.

Insyaallah. Terima kasih di atas pandangan yang cukup ikhlas daripada Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Encik Ali bin Yahaya dan kami percaya bahawa ahli UMNO telah mendapat gambaran yang jelas tentang pendirian yang disuarakan itu tadi. Terima kasih sekali lagi kerana memberikan kerjasama bagi menjayakan temubual eksklusif ini.